Dokumen-dokumen Perlembagaan adalah roh dan semangat MA63 — Tun Pehin Sri Wan Junaidi

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi
Advertisement

KUCHING, 16 Sep: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menghayati sejarah pembentukan negara Malaysia. ⁣

Katanya, penggabungan tiga wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih besar dan berkembang maju secara berimbang. ⁣

“Dan inilah batu asas yang hakiki,” ujar Tun Pehin Sri Wan Junaidi dalam ucapan Hari Malaysia 2024.

Advertisement

Tambah beliau, apa yang terkandung di dalam dokumen dokumen pembentukan Malaysia adalah sangat penting.

Dokumen-dokumen adalah Memorandum Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report), Akta Malaysia 1963 (UK), Akta Malaysia 1963 (Tanah Melayu).

Perjanjian Malaysia 1963, Perjanjian tambahan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.

“Semua dokumen tersebut adalah dokumen-dokumen Perlembagaan (Constitutional Documents) yang dipersetujui oleh semua pihak ketika pembentukan Persekutuan Malaysia yang wujud hari ini.

“Dalam erti kata lain, dokumen-dokumen Perlembagaan tersebut adalah roh dan semangat MA63,” jelas Tun Pehin Sri Wan Junaidi.

Ujar beliau lagi, penubuhan Malaysia tahun 1963 berasaskan dokumen-dokumen Perlembagaan sudah bersemadi di dalam Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya tidak dipertikaikan. — DayakDaily

Advertisement