Doktor didakwa cabul pesakit ditangkap di Kuching

PDRM logo

KUCHING, 30 Dis: Seorang doktor di sebuah pusat perubatan ditangkap selepas didakwa mencabul seorang yang juga merupakan pesakitnya semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata lelaki berusia 28 tahun itu dilaporkan melakukan perbuatan tersebut semasa menjalankan prosedur pemeriksaan secara bersendirian di dalam bilik rawatan sekitar jam 11.30 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihak polis kemudian terus menangkap suspek bagi membantu siasatan.


“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

“Pihak polis menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian atau kenyataan yang tidak berkenaan isu ini bagi memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” ujar Merbin. — DayakDaily