Doktor berputih mata, lesap wang RM14,000 akibat terpedaya ‘Macau Scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 9: Seorang doktor terpaksa berputih mata selepas kerugian sebanyak RM14,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau Scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata suspek yang berusia 30 tahun dilaporkan membuat laporan polis berhubung kes yang menimpa dirinya, semalam.


Berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya sebagai anggota polis dan dikenali sebagai Sarjan Abi Zaini Mokthar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Suspek kemudian mengatakan identiti mangsa telah digunakan untuk memohon kad kredit Hong Leong Bank.

“Mangsa juga dikatakan terlibat dengan kes jenayah dan menerima wang rasuah dan untuk buktikan mangsa tidak menerima wang haram tersebut suspek telah meminta nombor akaun bank CIMB doktor tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa dikatakan terus melayan panggilan tersebut selama dua jam sehinggalah memberi nombor TAC kad bank kepada suspek.

Katanya, mangsa yang mula berasa ada sesuatu yang tidak betul kemudian berbincang dengan isterinya sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Malangnya, apabila diperiksa semula akaun banknya, mangsa mendapati wang sebanyak RM14,000 telah tiada lagi disyaki telah lesap ditipu suspek,” katanya. — DayakDaily