Doakan kejayaan atlet para Malaysia di Sukan Paralympik Tokyo 2020 — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 25 Ogos: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah menyeru rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan atlet para Malaysia khusus atlet para Sarawak di Sukan Paralympik Tokyo 2020.

Katanya, penglibatan para atlet tersebut adalah demi mengejar kejayaan untuk diri sendiri, keluarga dan negara Malaysia.

“Bagi pihak kerajaan Sarawak, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pemilihan atlet para Sarawak untuk mewakili Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Kejayaan untuk dipilih ke sukan Paralimpik diharap dapat membuka mata orang ramai tentang keupayaan OKU dan seterusnya mengubah sikap dan perspektif terhadap keupayaan OKU.

“Kita amat berharap kemudahan, infrastruktur, pendidikan, pemulihan, penglibatan sukan, budaya, pekerjaan dan kesejahteraan hidup akan meningkat dan bertambah baik,” katanya pada sidang media hari ini.

Untuk edisi ke-16 Sukan Paralimpik, tambah Fatimah, seramai 22 atlet para Malaysia bertanding di dalam sembilan jenis sukan di mana lima orang atlet adalah berasal dari Sarawak.

Katanya, Sarawak diwakili jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin (72kg ke bawah) yang berusia 22 tahun, berasal dari Taee, Serian.

Beliau meraih pingat emas untuk Malaysia di pertandingan Para Powerlifting World Cup 2021 di Bangkok pada bulan Mei tahun ini, dan juga merupakan pemenang pingat emas di Kejuaraan Powerlifting Para Dunia tahun 2019.

“Paralimpik Tokyo 2020 merupakan kali pertama untuk penyertaan Bonnie. Beliau telah dipilih sebagai pembawa bendera Jalur Gemilang bersama pelari paralimpik negara, Siti Norasiah Mohd Ariffin,” ujar Fatimah.

Empat atlet para lain kelahiran Sarawak ialah Jong Yee Khie, 30, berasal dari Batu Kawa, Kuching dan bertanding dalam acara para powerlifting 107 kg ke bawah.

Atlet para renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli ,26, berasal dari Asajaya akan bersaing dalam acara 50 meter gaya bebas, 100 meter gaya bebas, 100 meter kuak dada dan 200 meter gaya bebas.

Perenang Jamery Siga, 33, berasal dari Limbang akan bertanding dalam acara kegemarannya iaitu 50 meter kuak kupu-kupu.

Manakala Wiro Julin, 27, berasal dari Padawan, Kuching adalah atlet para memanah dan akan bertanding dalam acara terbuka lelaki.

“Saya mendoakan agar segala urusan kontinjen negara berjalan dengan lancar, doa agar mereka sihat, dilindungi daripada sebarang musibah dan penyakit dan mereka dapat bertanding dengan tenang, tabah dan penuh semangat,” ujar Fatimah. — DayakDaily