Diusir balik, Pati tidak sempat bekerja

Kesemua Pati diusir balik ke negara asal mereka.

LUNDU, 15 Sept: Hasrat tujuh lelaki dan wanita dewasa dari Indonesia mencari pekerjaan di negeri ini tidak kesampaian apabila ditangkap dan diusir balik pagi tadi.

Sel Perhubungn Raya Markas 1 Divisyen berkata kesemua tujuh Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) terbabit ditangkap di kawasan Biawak, Lundu iaitu kira-kira 300 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Katanya, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun turut bersama dengan mereka semasa ditahan dalam operasi pada jam 7.30 pagi.


“Lapan individu dipercayai Pati dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia oleh sepasukan anggota yang sedang melaksanakan serang hendap di kawasan berkenaan.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, lapan Pati terdiri daripada empat lelaki, tiga wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menyatakan tujuan memasuki Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan,” katanya.

Kesemua Pati ditahan dan diusir keluar dari sempadan Malaysia dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

“Kita komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng dalam mengekang aktiviti Pati menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. ā€” DayakDaily