Disyaki mencuri bateri kereta, petani Bakong ditetak dengan parang

ACP Lim Meng Seah

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 6 Ogos: Gara-gara bateri kereta hilang disyaki dicuri, seorang petani berusia 25 tahun dari Sungai Malang Bakong diserang dan ditetak menggunakan parang pada malam Selasa lepas (4 Ogos) berhampiran pasar Simpang Bekenu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa menerima lapan jahitan di bahagian belakang badan akibat ditetak seorang lelaki menggunakan parang.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah, siasatan awal mendapat kejadian berpunca daripada sebuah bateri kereta milik suspek yang telah hilang dipercayai dicuri.

“Pada malam kejadian, mangsa dalam perjalanan balik selepas membeli barangan dapur di pasar Simpang Bekenu, sebelum suspek tiba-tiba datang terus menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai parang,” ujar Lim.


Dalam pergelutan tersebut, mangsa cuba menggelak, namun terkena pada bahagian belakang badannya.

“Mangsa sempat melarikan diri menuju ke sebuah klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan,” kata Lim.

Satu laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa, sehari selepas kejadian.

“Pada Rabu (5 Ogos), pihak polis telah menangkap suspek berusia 42 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” tambah Lim.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — DayakDaily