Disangkakan seekor babi hutan, pemuda maut ditembak rakan sendiri

Royal Malaysia Police logo

JULAU, Jun 18: Malang menimpa seorang pemuda apabila dia terkorban selepas terkena tembakan selepas disangkakan sebagai seekor babi hutan ketika sedang memburu di hutan Sungai Engkelut, Pakan dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan mangsa yang berusia 26 tahun maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC, Dennis Leong Soon Kuai berkata, sebelum kejadian itu, mangsa bersama rakannya yang berusia 36 tahun dikatakan sedang memburu binatang liar di kawasan hutan berkenaan.

Jelasnya, mereka berdua kemudian dikatakan jalan berasingan sebelum berpakat untuk bertemu semula di kawasan hutan Sungai Kauh di situ.

“Bagaimanapun, malang menimpa mangsa apabila rakannya yang menyangka terdapat pergerakan seekor babi hutan di situ kemudian melepaskan tembakan lalu terkena anggota badan mangsa.

“Rakan mangsa yang juga merupakan seorang petani kemudian terkejut apabila objek yang disangkakan seekor babi hutan rupa-rupanya mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dennis menambah, panik melihat keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa, kemudian meminta bantuan penduduk rumah panjang berhampiran untuk mengangkat mayat mangsa.

Katanya, suspek kemudian pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 5.15 petang.

“Suspek kemudian ditahan bersama selaras senapang yang digunakan semasa kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai tertembak mangsa kerana menyangka mangsa adalah seekor babi hutan memandangkan keadaan hutan di situ agak gelap,” ujarnya lagi.

Tambah Dennis, suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat.

Ujarnya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Senjata Api 1960 dan Seksyen 8(a) akta sama.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat,” katanya. — DayakDaily