Disangka patung rupa-rupanya mayat lelaki terapung

Anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri membawa keluar mayat dari lokasi kejadian.

Brad Rantayy

MIRI, 2 Jan: Mayat seorang lelaki ditemui terapung awal pagi tadi di tasik berdekatan kawasan perumahan Senadin.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, mayat lelaki yang belum dikenalpasti bangsa dan usia itu ditemui seorang kaki pancing yang sedang memasang pukat di kawasan terbabit kira-kira jam 9.30 pagi.


Dia seterusnya memaklumkan kepada rakannya yang berada berdekatan di lokasi kejadian.

“Lelaki terbabit pada mulanya menyangkakan mayat itu patung, namun setelah melihat pada jarak dekat, ia ternyata mayat manusia,” ujar Hakemal.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.

Mayat berjaya diangkat keluar dari tasik tersebut oleh sepasukan anggota Bomba Lopeng.

Difahamkan mayat ditemui dalam keadaan terlentang menghadap ke atas di sebalik rumpunan bunga teratai air dan berpakaian lengkap berwarna hitam bersama kasut jenama Nike.

Turut ditemui pada mangsa adalah seutas jam tangan pada tangan sebelah kirinya.

Mayat telah dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – DayakDaily