Dipenjara 80 tahun, kena 18 sebatan, kerana rogol kanak-kanak OKU

Anggota polis mengiringi tertuduh (tengah) di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING, Mac 23: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 80 tahun dan 18 sebatan ke atas seorang tukang kebun sekolah selepas tertuduh mengaku bersalah merogol dua kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) sejak 2016.

Hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Motis Juwel, 56, mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi dua pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.


Manakala untuk empat pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Mahkamah sama turut memutuskan hukuman tiga sebatan bagi setiap pertuduhan berkenan.

Hakim kemudian memerintahkan hukuman terhadap tukang kebun itu berjalan berasingan berkuat kuasa hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan enam kali perbuatan terkutuk iaitu merogol dua kanak-kanak OKU masing-masing berusia 14 tahun di dalam sebuah stor di sebuah sekolah khas di Grogo, Bau sejak Mei 2016.

Tertuduh didakwa kali terakhir merogol kedua-dua kanak-kanak terbabit pada Mac 7 lalu di tempat sama.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. — DayakDaily