This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 31 Mei: Kenaikan mendadak harga daging babi dikatakan sedikit sebanyak menjejaskan sambutan Hari Gawai Dayak.
Secara tradisi, daging babi sudah senonim dengan perayaan Gawai dan merupakan satu menu yang mesti ada di setiap rumah.
Bagi golongan berpendapatan tinggi mungkin harga terkini daging tersebut yang mencecah RM40 sekilogram tidak menjadi masalah kepada mereka.
Tetapi bagi golongan berpendapatan rendah, khususnya penduduk rumah panjang, ia sangat membebankan.
Mana tidak, dahulunya harga sekilogram daging babi adalah sekitar RM20 hingga RM25 sahaja.
Persoalannya, adakah tanpa menu masakan babi suasana Gawai akan tidak meriah?
Bagi Tuah Ingu, 63, pesara kerajaan yang berasal dari Undop di Sri Aman, isu kenaikan harga daging tersebut sering kedengaran dan semakin hangat menjelang Gawai.
Beliau berpendapat, bukan menjadi satu masalah jika tiada masakan babi semasa Gawai kerana tidak semua mampu membelinya.
“Tiada di dalam adat Iban menyatakan tiada Gawai jika tiada masakan babi,” kata Tuah.
Beliau turut beranggapan bahawa penduduk di rumah panjang tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan daging tersebut seterusnya sebagai hidangan semasa perayaan.
Lazimnya, ujar beliau, majoriti penduduk rumah panjang menternak babi untuk keperluan sendiri yang seperti biasa akan disembelih semasa Gawai atau Sambutan Krismas.
“Dengan ini mereka tidak membeli daging tersebut dari pasar di kawasan masing-masing.
“Dan bagi mereka yang menternak secara komersil, daging babi dijual kepada penduduk rumah panjang dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, penduduk rumah panjang juga mengamalkan tradisi “besir” iaitu perkongsian diantara 5 hingga 7 orang membeli seekor babi.
Ujarnya, amalan “besir” membolehkan peserta mendapat semua bahagian babi (termasuk hati, perut dan lain-lain) yang diagihkan sama rata.
Bagi Tr Denis Thomas dari Kampung Liu C di Sri Aman pula, sambutan Gawai tetap meriah walaupun tanpa masakan babi.
Katanya, kemeriahan diukur daripada keakraban pergaulan keluarga dengan ada yang datang dari jauh untuk sama-sama meraikan Gawai.
“Pilihannya adalah dengan mengurangkan jumlah, jika pada Gawai tahun lepas kita membeli 10 kilogram, maka tahun ini kita beli 5 kilogram.
“Kita juga boleh mencari menu lain untuk menggantikan menu babi,” ujar Denis.
Tinjauan DayakDaily di Pasar Batu 10 pagi tadi mendapati masyarakat Dayak masih membeli daging babi untuk keperluan Gawai yang disambut esok.
Daging babi di pasar tersebut dijual dengan harga RM35 hingga RM40 sekilogram, manakala kepala babi dijual dengan RM29 sekilogram. — DayakDaily