14 premis judi diserbu sejak 1 hingga 17 Ogos di Kuching

KUCHING, 18 Ogos: Sebanyak 14 premis perjudian di bandaraya ini digempur sejak 1 Ogos hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata hasil operasi Op Dadu tersebut telah berjaya menangkap 14 suspek yang merupakan semua lelaki warga tempatan.

Katanya, 14 kertas siasatan telah dibuka dan lima daripadanya telah dituduh di mahkamah, manakala sembilan lagi masih dalam siasatan polis.

Jelas beliau, sebanyak 13 kes adalah membabitkan kes judi dalam talian dan satu kes adalah kes loteri awam tanpa lesen.

Lima kes yang sudah dituduh telah dijatuhkan hukuman paling rendah RM10,000 dan paling tinggi RM40,000.

Turut dirampas daripada suspek ialah beberapa unit telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Tegasnya, Op Dadu akan diteruskan lagi bagi membanteras aktiviti perjudian haram.

Justeru Ahsmon menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis berhubung kegiatan perjudian di daerah ini. — DayakDaily