KUCHING, 15 Jun: Dewan Masyarakat Siniawan bakal dijadikan sebagai gelanggang sukan pickleball, seterusnya membantu mempromosi sukan tersebut di Daerah Bau.
Menurut Adun Serumbu Miro Sumuh, kemudahan tersebut akan memeriahkan lagi Pasar Siniawan sebagai satu kawasan kunjungan utama khususnya pada hujung minggu.
“Kita akan menjadikan Dewan Masyarakat Siniawan ini sebagai gelanggang pickleball bagi penduduk di Bau, juga dari Kuching.
“Selepas bermain, mereka boleh berkunjung ke Pasar Siniawan. Pelbagai jenis makanan dan minuman menanti anda semua,” kata Miro semasa merasmikan Gawea Pickleball Cup 2024 (GPC2024) hari ini.
Tambah beliau, pihaknya kini merancang membina satu gelanggang bola keranjang yang baharu berhampiran Pasar Siniawan.
Justeru katanya, ini membolehkan kemudahan bola keranjang di Dewan Masyarakat Siniawan diubah menjadi gelanggang pickleball.
Sementara itu, 10 pasukan pickleball dari Kuching dan Bau bersaing pada Gawea Pickleball Cup 2024.
Ia membabitkan tiga kategori beregu lelaki, beregu wanita dan acara kostum beregu campuran istimewa. — DayakDaily