Detik cemas pemandu e-hailing bawa pelanggan ke kubur cari bapa

Cahaya menceritakan pengalaman dan cabaran sebagai pemandu e-hailing kepada DayakDaily.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Okt: Menerima tempahan untuk menghantar pelanggan ke kawasan perkuburan antara detik cemas seorang pemandu e-hailing wanita dari Siburan.

Menceritakan pengalaman tersebut, Cahaya (nama panggilan) berkata, tempahan diterima dari seorang wanita bersama seorang lelaki dari kawasan Batu 13 (Flat Taman Sri Muhibbah) Jalan Kuching-Serian pada jam 2 petang beberapa bulan yang lalu.


Setelah mengambil pelanggan tersebut di kawasan ‘pick up’, beliau terus menuju ke destinasi iaitu ke kampung Prutan di Padawan.

Dalam perjalanan tersebut, pelanggan meminta Cahaya, 33, untuk berhenti di kawasan perkuburan Cina di Jalan Endap.

Menurut Cahaya, cuaca ketika itu amat cerah dan perjalanan mengambil masa setengah jam.

Sampai di destinasi, pelanggan meminta Cahaya untuk masuk lebih dalam ke kawasan kubur tersebut atas alasan untuk mencari bapanya.

Alasannya ialah untuk meminta wang daripada bapanya untuk membayar tambang atas perkhidmatan Cahaya yang berjumlah RM14.50.

Apabila Cahaya membawa kereta sehingga ke pertengahan kubur tersebut, beliau merasakan ada sesuatu yang aneh sedang berlaku

“Setelah kedua-dua pelanggan keluar dari kereta untuk mencari bapa yang dikatakan berada di kawasan perkuburan, saya terus mengunci kesemua pintu kereta.

“Beberapa minit kemudian kedua-duanya kembali dan masuk semula ke dalam kereta sambil mengatakan salah kawasan perkuburan.

“Pelanggan lelaki meminta untuk dihantarkan ke satu lagi kawasan perkuburan yang tidak berapa jauh,” kata Cahaya yang sudah 5 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Disebabkan sudah menerima satu lagi tempahan pelanggan, Cahaya menolak untuk menghantar mereka berdua ke perkuburan lain.

Beliau memberi pilihan samada turun di perkuburan atau dibawa balik ke Pekan Siburan.

Mereka berdua memilih untuk dibawa ke Pekan Siburan dan berjanji untuk membayar tambang menerusi transaksi pemindahan wang.

“Namun sehingga kini, caj tambang perkhidmatan saya tidak dibayar oleh pelanggan tersebut.

“Dan kejadian tersebut kekal misteri kerana bapa yang dicari di kawasan perkuburan tidak ditemui,” kata Cahaya. ā€” DayakDaily