Delegasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak lakukan lawatan penanda aras ke SAINS

Dr Abdul Rahman (lima kiri) bersama rombongan merakamkan kenangan semasa lawatan ke SAINS.

KUCHING, 31 Jan: Delegasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi mengadakan lawatan penanda aras ke Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) pada Isnin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), rombongan lawatan kerja itu diketuai oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun merangkap Pengerusi SAINS.


Antara objektif lawatan penanda aras itu adalah untuk menjadikan kaedah atau sistem yang digunapakai oleh pihak SAINS dalam mengawal selia bekalan air di Negeri Sembilan.

Ia sebagai penanda aras bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta empat agensi bekalan air dalam mengkaji untuk penubuhan satu entiti bekalan air di Sarawak.

Antara lain, lawatan itu adalah bagi mendalami fungsi dan struktur organisasi SAINS yang dahulunya merupakan Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBAN) dan telah menjadi sebuah badan korporat yang ditubuhkan pada 15 Mac 2007 iaitu SAINS.

Objektif lain lawatan adalah untuk meneliti dan mengkaji bagaimana proses migrasi tersebut melibatkan hal penting seperti Sumber Manusia, Perundangan, Model Perniagaan, Kewangan dan Teknologi Maklumat.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Jafri Lias dan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Datu Sr. Zaidi Mahdi. — DayakDaily