DBP akan lancar kamus bahasa Sarawak tahun ini

Abang Johari (empat dari kanan) menerima kunjungan rombongan DBP di Wisma Bapa Malaysia.
Advertisement

KUCHING, 17 Feb: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan melancarkan kamus bahasa Sarawak pada tahun ini.

Perkara ini dimaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang
Johari Tun Openg pada kunjungan hormat pengarah DBP, Datuk Abang
Sallehudin Abang Shukran, di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Selain itu, DBP juga akan menerbitkan kamus bahasa Iban dan bahasa
Melanau Baie serta cerita rakyat suku kaum di Sarawak.

Advertisement

“Usaha ini bertujuan agar masyarakat di Semenanjung Malaysia dan Sabah dapat memahami dengan lebih dekat budaya dan cerita rakyat Sarawak,” Abang Sallehudin berkata ketika kunjungan hormat.

Halim (kiri) menyampaikan cenderahati PACE UUM kepada Abang Johari pada pertemuan tersebut.

Abang Johari turut menerima kunjungan hormat Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Professor Madya Dr Halim Mad Lazim.

PACE UUM merancang menawarkan lebih banyak jurusan pada program pendidikan jarak jauh di Sarawak, kata beliau.

Abang Johari pada perbincangan bersama rombongan Persatuan Persaudaraan Melayu Betong dan Sri Aman.

Seterusnya, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Persaudaraan Melayu Betong dan Sri Aman.

Kunjungan yang diketuai Dr Zulwali Kifli Merawi membincangkan perancangan pembangunan di atas sebidang tanah yang diberikan kerajaan negeri sebagai pusat aktiviti persatuan tersebut kelak.

Disamping itu, kunjungan adalah sebagai tanda terima kasih di atas keperihatinan dan sokongan daripada Abang Johari kepada persatuan. — DayakDaily

Advertisement