DBKU teruskan operasi menangkap anjing berkeliaran bebas di Taman Budaya

KUCHING, 24 Julai: Pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan terus menjalankan operasi menangkap anjing berkeliaran bebas di Taman Budaya, di sini.

DBKU, menerusi kenyataan media hari ini, berkata pemasangan perangkap dan rondaan dilakukan setiap hari di kawasan tersebut.

Sehingga kini, dua ekor telah berjaya ditangkap, termasuk anjing yang telah menyerang pengunjung di Taman Budaya semalam.

DBKU memohon kerjasama orang ramai agar tidak menganggu perangkap anjing yang telah dipasang di kawasan tersebut.

Di samping itu, DBKU juga menasihati pemilik anjing agar tidak melepaskan anjing mereka, terutamanya di kawasan awam.

Berhubung dengan insiden anjing berkeliaran bebas di kawasan Taman Budaya, operasi penangkapan telah dilakukan pada 12 Julai yang lalu ekoran penerimaan aduan awam yang dibuat melalui Pusat Khidmat 24 jam DBKU.

Sejak bulan Januari hingga Julai 2019, DBKU telah menangkap 1,029 ekor anjing berkeliaran bebas.

Jumlah itu termasuk 440 ekor yang ditangkap semasa Operasi Rabies Fasa 3 pada bulan April lepas.

Dibawah undang-undang kecil Local Authorities (Dog Licencing and Control) 2018, adalah menjadi satu kesalahan membiarkan anjing lepas di tempat awam.

Jika didapati bersalah, denda tidak melebihi RM2,000 boleh dikenakan. — DayakDaily.