DBKU meraih dua anugerah emas di Konvensyen Team Excellence 2018.

Dua kumpulan team excellence dari DBKU yang memenangi anugerah emas bagi inovasi mereka di Konvensyen Team Excellence Peringkat Kebangsaan 2018.

KUCHING, Nov 16: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya membanggakan negeri Sarawak setelah meraih dua anugerah emas di Konvensyen Team Excellence Peringkat Kebangsaan 2018.

Konvensyen itu diadakan semasa Annual Productivity and Innovation Conference and Exposition (APIC) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, 13-15 Nov lepas.

DBKU adalah satu-satunya pihak berkuasa tempatan dari Sarawak yang telah menyertai konvensyen itu, di mana dua “team excellence” majlis perbandaran tersebut berjaya mendapat pengiktirafan bagi inovasi mereka.


“Lebih membanggakan apabila DBKU berjaya mendapat anugerah emas 5 Bintang untuk kumpulan team excellence IMTENG dengan inovasi Penutup Lurang (MHR2 and MHR3),” DBKU berkata dalam kenyataan media hari ini.

Manakala satu lagi anugerah emas 4 Bintang berjaya diperolehi DBKU melalui kumpulan team excellence EMCO dengan inovasi MDL Ez-Slot.

Selain itu DBKU juga menerima sijil kerana berjaya menaiktaraf dua sistem pengurusannya kepada versi terkini iaitu Quality Management System ISO 9001:2015 & Environmental Management System ISO 14001:2015 bagi tahun 2018.

Majlis penyampaian sijil terbabit kepada datuk bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, telah diadakan ketika Majlis SIRIM Industri 2018, bertempat di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya, semalam. — DayakDaily