DBKU: Kelulusan diperlukan untuk sebarang penggunaan tempat awam

A night market scene. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Jan 24: Sebarang penggunaan tempat awam di premis-premis perniagaan hendaklah mendapat kelulusan daripada Jabatan Tanah dan Survei, State Planning Authority, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, DBKU berkata ia telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi dialog bersama 21 buah premis perniagaan yang telah dikenalpasti menggunakan tempat awam pada Jan 11 yang lalu.

Dialog ini dipengerusikan oleh Ahli Dewan DBKU Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie. Turut hadir bersama adalah James Wong Wang Yu dari Jabatan Tanah dan Survei, Ketua Timbalan Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad dan Azizah Salim dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.


“Tujuan dialog ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran dan menyampaikan informasi kepada pengusaha premis perniagaan tentang panduan penggunaan tempat awam yang betul selaras dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan serta membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan,” kata DBKU.

Semasa dialog tersebut, pengusaha telah diberi taklimat oleh pegawai-pegawai daripada DBKU, Jabatan Tanah dan Survei serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Konsep penggunaan tempat awam ini melibatkan premis perniagaan yang membuat penyambungan atap serta tiang di dalam kawasan penggunaan mall dan membina struktur tambahan seperti pelantar di atas parit berhadapan dengan premis.

Penyambungan struktur yang dilakukan sesuka hati oleh pengusaha premis boleh menyebabkan halangan serta menjejaskan keselamatan kepada orang awam dan menyukarkan aktiviti menyelamat oleh pihak Bomba sekiranya berlaku kebakaran.

Jika terdapat sebarang pertanyaan atau kemusykilan, sila hubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-234654/ 234657. — DayakDaily