KUCHING, 19 MEI: Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU) memberi diskaun 25 peratus ke atas bil cukai tafsiran 2020.
Ia sejajar dengan pengumuman Ketua Menteri Sarawak pada 23 Mac 2020 yang lalu melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dalam usaha meringankan beban rakyat Sarawak menghadapi krisis pandemik Covid-19.
Pengarah DBKU Dr Morshidi Mohamad menerusi kenyataan media hari ini berkata, pegangan berkadar di bawah bidangkuasa DBKU akan mendapat diskaun minimum sebanyak 25 peratus ke atas bil cukai taksiran tahun 2020 berkuatkuasa 1 Januari 2020.
“Diskaun 25 peratus cukai taksiran tahun 2020 tersebut layak ke atas pegangan kategori kediaman, komersil, industri, pegangan khas dan tanah kosong,” katanya.
Menurut Dr Morshidi, pemberian diskaun di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang ini hanya sah sehingga 31 Disember 2020 sahaja.
Berhubung isu yang sama, beliau memaklumkan bahawa tarikh akhir pembayaran bagi tempoh pertama tahun 2020 telah dilanjutkan sehingga 31 Oktober 2020.
“Jika pembayaran telah dilakukan ke atas bil cukai taksiran tempoh pertama tahun 2020, lebihan bayaran akan dikreditkan ke atas bil cukai taksiran tempoh kedua tahun 2020.
“Andai pembayaran penuh telah dilakukan ke atas bil cukai taksiran tahun 2020, maka lebihan bayaran tersebut akan dikreditkan ke atas bil cukai taksiran pada tahun 2021,” ujar beliau lagi. —DayakDaily