DBKU akan lancar operasi tangkap anjing terbiar

Dog sleeping in the streets — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 26 Okt: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mengadakan operasi menangkap anjing terbiar dikawasannya tidak lama lagi.

Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad berkata operasi terbabit penting bagi mengawal merebaknya kes rabies di kawasan majlis tempatan terbabit di bandaraya ini, namun beliau tidak memberi butiran bila operasi terbabit akan bermula.

“DBKU akan menjalankan operasi penangkapan anjing terbiar di seluruh kawasan komersil, taman perumahan, kampung, taman awam serta kawasan lapang untuk mengawal merebaknya kes rabies ke daerah ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Morshidi meminta kerjasama penduduk di kawasan DBKU supaya tidak membiarkan anjing peliharaan mereka berkeliaran di tempat awam bagi mengelakkan ditangkap oleh pihak berkuasa dalam operasi itu.

“Semua anjing terbiar yang berkeliaran akan ditangkap dan sebarang tuntuan tidak akan dilayan,” katanya.


Sementara itu, Laporan Harian Wabak Rabies di Negeri Sarawak dikeluarkan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sehingga 25 Okt lepas mendedahkan sebanyak 15,700 kes gigitan anjing telah dilaporkan di negeri ini.

Manakala keseluruhannya terdapat 12 kematian akibat penyakit itu dan seorang pesakit positif rabies sedang kritikal.

Laporan Harian Wabak Rabies negeri Sarawak yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sehingga 25 Okt lepas, yang disiarkan laman Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Sebanyak 46 kawasan di seluruh negeri ini diistiharkan kawasan wabak rabies dengan Kuching ada lima kawasan, Samarahan (3), Serian (22), Sri Aman (3), Sarikei (3), Bintulu (2), Miri (4) dan masing-masing satu kawasan di Betong, Sibu, Mukah dan Kapit.

Bilangan sampel positif rabies setakat 25 Okt lepas ialah 253 ekor anjing dan 15 ekor kucing, manakala seramai 5,538 orang telah diberikan suntikan vaksin rabies dan sebanyak 91,771 anjing dan 8,495 kucing juga telah diberikan vaksin itu. — DayakDaily