Dasar pendidikan tinggi bagi tempoh 2025 hingga 2030 kini dirangka – Zambry

Zambry (empat kanan) dalam lawatan ke Kolej Universiti i-Cats.

KUCHING, 5 Mac: Kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan dasar pendidikan tinggi bagi tempoh 2025 hingga 2030.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, satu jawatankuasa kerja diwujudkan bagi meneliti semua cadangan bagi meneruskan agenda pendidikan negara.

“Dasar pendidikan tinggi bagi tempoh 2020 hingga 2025 akan berakhir pada tahun hadapan.


“Jadi saya telah arahkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa kerja bagi merangka dasar untuk tempoh 2025 hingga 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Semarak Kampus MADANI di Kolej Universiti i – CATS di sini, hari ini.

Tambah Zambry, dasar pendidikan tinggi bagi tempoh lima tahun akan datang dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.

Sebelum ini katanya, kementerian telah mewujudkan National Review Committee bagi meneliti perlaksanaan dasar terdahulu dan cadangan-cadangan yang dikemukakan. — DayakDaily