Dasar Inklusiviti bantu Sarawak capai status negeri maju – Fatimah

Fatimah (tiga kiri) pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 26 Sept: Dasar inklusiviti melibatkan rakyat pelbagai kaum, agama dan etnik yang di utamakan kerajaan negeri memastikan Sarawak terus maju dan aman.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dasar tersebut meletakkan Sarawak berada di landasan yang betul bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.

“Dasar inklusiviti ini sangat penting, ia memastikan tiada kumpulan merasa diri tersisih.


“Setiap program yang dilaksanakan adalah melibatkan rakyat pelbagai kaum, agama dan etnik,” katanya pada sidang media selesai Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri hari ini.

Menerusi interaksi sosial jelas Fatimah, setiap rakyat belajar dari satu sama lain khususnya berkaitan kepercayaan serta budaya dan ini mewujudkan rasa hormat.

Katanya, dengan amalan tersebut rakyat Sarawak hidup dalam aman dan harmoni.

“Untuk kita di Sarawak, ini adalah sangat penting dan di setiap penganjuran majlis kita pastikan masyarakat berbilang kaum dan agama ini saling berinteraksi.

“Ia tidak membuatkan seseorang itu kurang muslim atau kurang cina.

“Dengan cara demikian, barulah pemimpin dapat fokus kepada pembangunan dan inilah Premier kita buat,” ujar Fatimah. ā€” DayakDaily