Daro dibangun sebagai kawasan ekonomi baharu — Abang Johari

Abang Johari ketika berucap di Perasmian Stesen Minyak Bersepadu Petros di Daro.

KUCHING, 19 Mac: Daro bakal menjadi satu kawasan ekonomi baharu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, satu perancangan sedang diusahakan bagi membangunkan Daro yang seterusnya akan memberikan sumber pendapatan kepada negeri.

Namun katanya, perancangan tersebut masih belum dapat diumumkan dalam masa terdekat.


“Saya belum mahu umumkan dahulu, kita buat perkiraan. Daro ini menjadi satu kawasan baharu di Rajang, ada yang saya mahu buat tetapi tak boleh beritahu sekarang, tunggulah.

“Satu sumber kewangan akan datang dari kawasan ini,” katanya di Majlis Perasmian Stesen Minyak Bersepadu Petros di Daro hari ini.

Tambah Abang Johari, beliau bukannya hendak merahsiakan perancangan tersebut tetapi risau akan dituduh berbohong oleh sesetengah pihak.

Jelasnya, perancangan tersebut sedang diusahakan sekarang dan diyakini bakal memberi pendapatkan kepada Sarawak.

“Biar saya urusan dengan betul dahulu, ini akan memberi pendapatan kepada Sarawak kerana ia adalah ekonomi baharu.

“Mungkin kawasan ini boleh menjadi seperti negeri Arab kelak, ia adalah jawapan kepada teka-teki saya berhubung perancangan ini,” jelas Abang Johari. — DayakDaily