DAPSY Serian: GPS tiada pendirian jelas

Brolin Nicholsion

KUCHING, 9 Mac: Tindakan seterusnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai sebahagian daripada kerajaan pusat menjadi tumpuan, kata ketua Belia DAPSY Serian, Brolin Nicholson.

Katanya, GPS pada beberapa hari lepas telah mengumumkan akan menyertai kabinet dalam kerajaan persekutuan dengan formula Perikatan Nasional plus GPS (PN+GPS).

“Sekarang mata tertumpu kepada GPS, semua telinga mendengar dan menanti apakah yang akan GPS lakukan sebagai sebahagian daripada kerajaan pusat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Dengan keputusan itu, Brolin yang juga pegawai khas Adun Padungan Wong King Wei, menganggap kerajaan GPS tiada pendirian yang jelas.

Tambah beliau, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pada 19 September lepas, mengatakan bahawa GPS selesa bergerak sendiri dan menolak untuk menandatangani memorandum bersama PAS dan UMNO ketika itu.

“Bukankah GPS keluar dari Barisan Nasional kerana sudah belajar dari menjadi sebahagian daripada rejim Barisan Nasional dahulu?

“Dan bukankah mereka tidak ingin ideology Malaya datang ke Sarawak? Tetapi mengapa kembali ke pangkuan ‘bos’ lama mereka sekarang?” kata Brolin. — DayakDaily