DAPSY Sarawak hanya berlakon, kata S4S

Chan Chee Hiong

KUCHING, 22 OGOS: Tindakan Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik(DAPSY) Sarawak menampalkan pelekat tulisan cina di papan tanda jalan secara pribadinya adalah untuk berlakon, kata Sarawak for Sarawakians(S4S).

Jurucakapnya Chan Chee Hiong berkata, tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah kerana mengikut Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, semua papan tanda jalan hanya boleh ada dalam bahasa Melayu.

“Sebagai parti politik atau organisasi yang bertanggungjawab kepada rakyat, ia harus memberitahu rakyat penyelesaian terbaik bersesuaian dengan fakta.


“Selagi Sarawak tidak meninggalkan Persekutuan Malaysia, ia tertakluk kepada perlembagaan persekutuan dan isu tanda jalan dwibahasa akan berterusan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lepas, DAPSY Sarawak diketuai bekas MP Stampin Julian Tan melekat tulisan Cina di papan tanda milik DBKU.

Dalam pada itu, DBKU telah mengarahkan DAPSY Sarawak segera menanggalkan tulisan Cina di papan tanda jalan serta memohon maaf secara terbuka.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada sidang media semalam berkata, tindakan tersebut perlu dibuat kerana perbuatan menampalkan pelekat tanpa kebenaran DBKU adalah melanggar undang-undang.—DayakDaily