Oleh Chris Bishop
KUCHING, 27 Julai: Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Kuching hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Ahli DAPSY Kuching George Lam berkata, ia berhubung kaitan Apandi sebagai mewakili ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam rundingan untuk penyelesaian dengan kerajaan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia susulan laporan berita hari ini yang memetik sumber, mendakwa Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes terbabit.
“Ini adalah usaha DAPSY cawangan Kuching bersama rakan kita yang lain di mana laporan yang sama juga dibuat di seluruh negara.
“Kita harap agar pihak polis dapat mengambil tindakan dan menyiasat samada perkara ini berlaku atau tidak,” katanya ketika ditemui selesai membuat laporan di Balai Polis Sekama.
Tambah Lam, tawaran penyelesaian RM1.5 bilion itu adalah tidak adil kepada rakyat Malaysia yang terjejas teruk akibat skandal tersebut.
“la adalah untuk memberi ruang kepada Jho Low untuk kononnya memulangkan sejumlah wang 1MDB bernilai RM1.5 billion sahaja daripada jumlah keseluruhan wang pinjaman 1MDB yang berjumlah hampir RM40 billion.
“Setakat pengetahuan umum, Jho Low didakwa menyeleweng wang 1MDB yang telah difailkan sekitar kira kira RM15.85 bilion,” kata Lam. — DayakDaily