Dana RM124 juta diperlukan bagi sistem perparitan di Batu Kawah — Dr Sim

Dr Sim (tiga dari kiri) bersama Pegawai Jabatan Parti Dan Tali Air (DID) memeriksa projek sistem peparitan di Jalan Field Force.

KUCHING, 29 Mei: Timbalan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kawah Dato Sri Dr Sim Kui Hian berjanji terus mendapatkan dana dari Kerajaan Negeri untuk menaiktaraf sistem perparitan di kawasannya.

Pada masa yang sama, Dr Sim juga menggesa ahli-ahli Parlimen Sarawak untuk terus memainkan peranan dan tugas mendapatkan dana dari Kerajaan Pusat bagi menambahbaik projek mengawal banjir di negeri ini.

Katanya, ia adalah tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri dan Pusat dalam memastikan projek kawalan banjir dilaksanakan.

Justeru menurut beliau, Sarawak tidak sepatutnya melaksanakan projek sendirian walaupun ekonomi Negeri kukuh.

“Kita harap Ahli Parlimen Sarawak menjalankan tugas mendapatkan dana dari Kerajaan Pusat demi membangunkan Sarawak demi kepentingan rakyat,” katanya semasa lawatan ke projek peparitan di Jalan Field Force di Batu Kawah dengan kos RM12 juta.

Tambah Dr Sim, projek penambahbaikan sistem perparitan di Batu Kawah masih memerlukan dana RM124 juta.

Bagi dana tambahan RM124 juta, kata beliau, sejumlah RM80 juta digunakan untuk kerja naik taraf tujuh projek peparitan di kawasan DUN Batu Kawah.

“Sejumlah RM44 juta lagi untuk projek peparitan Fasa 2 Taman Desa Wira, dimana Fasa Pertama menggunakan dana RM20 juta.”

Projek perparitan di Jalan Field Force kini sudah mencapai kemajuan 46 peratus. — DayakDaily