Dalang kemasukan PATI di Sarawak ditangkap

Datu Ken Leben

BINTULU, 19 Nov: Seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki dalang yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dalam satu operasi di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak Datu Ken Leben berkata suspek dikenali sebagai ‘Pak Itam’ itu ditangkap bersama dua lagi PATI menaiki sebuah van iaitu sekitar jam 1.30 pagi.

Beliau memberitahu, dengan tertangkapnya ‘Pak Itam’ telah membawa kepada penangkapan 12 lagi PATI di sebuah rumah di Lee Garden, Jalan Sibiyu.

“Daripada maklumat yang diperolehi, didapati ‘Pak Itam’ adalah dalang yang membawa masuk PATI ke negeri ini.

“Dipercayai kesemua warga Indonesia terbabit baharu sahaja tiba dalam tempoh beberapa jam sebelum serbuan dibuat dan disyaki masuk melalui jalan yang tidak diwartakan yang diuruskan oleh ‘Pak Itam’,” jelas Ken.

Kesemua 15 PATI terbabit termasuk ‘Pak Itam’ kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Bintulu bagi tujuan proses dokumentasi.

“Mereka juga dijadualkan dibawa ke Klinik Kesihatan bagi saringan Covid-19 mengikut prosedur operasi ‘standard’ (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dihantar ke Depot Imigresen Bekenu, Miri,” kata Ken.

Kejayaan tersebut adalah susulan penangkapan seorang lelaki tempatan yang cuba menyeludup masuk lima PATI di Lundu semalam. — DayakDaily