Dakwaan Guan Eng bukti PH terdesak untuk meraih sokongan rakyat Sarawak

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 22 Jun: Dakwaan Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun jika terus dibawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja tidak berasas, malah membuktikan Pakatan Harapan (PH) terdesak untuk meraih sokongan rakyat Sarawak.

Ketua Whip Parlimen GPS merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Parti Tindakan Demokratik (DAP) sanggup melakukan apa sahaja termasuk menuduh Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Ini kononnya atas kiraan Matematik mudah Menteri Kewangan tersebut, di mana dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa 3 tahun.

“Jika begitulah caranya seorang Menteri Kewangan membuat kiraan dan analisa kewangan sesebuah negeri, maka tidak hairanlah keadaan ekonomi negara ketika ini semakin merudum dan nilai ringgit semakin susut dibawah jagaan beliau,” ujar Fadillah dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata Lim menggambarkan seolah-olah kerajaan GPS cuma berbelanja tanpa memikirkan bahawa Sarawak juga menjana pendapatan setiap tahun daripada kekayaan sumber semulajadi termasuk minyak dan gas.

Malah Sarawak juga sudah menjana pendapatan tambahan baharu melalui pelaksanaan cukai jualan 5 peratus terhadap produk minyak dan gas yang dikuatkuasakan 1 Januari, 2019, tambah beliau lagi.

Menurut Fadillah, RAM Rating Services Bhd turut mengiktiraf pendekatan kerajaan GPS Sarawak dengan menyifatkan Belanjawan 2019 Sarawak sebagai menangani keperluan pembangunan utama negeri yang menyokong usaha untuk mengecilkan jurang sosio ekonomi antara Sarawak dan negeri-negeri di bahagian Barat Semenanjung Malaysia.

Beliau juga merujuk kepada kenyataan Ketua Penarafan Negara RAM Rating Services Bhd, Esther Lai, yang menyatakan bahawa cukai jualan negeri sebanyak 5 peratus yang dikenakan ke atas produk petroleum bermula 2019 akan dapat meningkatkan asas hasil kerajaan bagi memenuhi komitmen perbelanjaan yang diperbesarkan, di samping mengekalkan kemampanan fiskal dan penampan rizab yang kukuh.

“Sebagai Menteri Kewangan, Lim sepatutnya membawa berita gembira apabila melawat Sarawak dengan membawa ole-ole projek untuk Sarawak, bukannya mengeluarkan kenyataan yang dan merendah-rendahkan dan menakut-nakutkan rakyat Sarawak.

“Kenyataan beliau sebagai seorang Menteri Kewangan juga amat tidak bertanggungjawab, kerana boleh menjejas keyakinan pelabur,” kata Fadillah.

Di majlis makan malam DAP di sini, semalam, Lim mengingatkan rakyat Sarawak bahawa negeri tersebut mungkin bankrap dalam tempoh tiga tahun di bawah pentadbiran GPS.

Lim berkata, dengan perbelanjaan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa tiga tahun. — DayakDaily