Dakwaan GPS sokong UMNO dan PAS tidak berasas, tegas Ketua Whip GPS

Fadillah Yusof.

KUCHING, MAc 2: Dakwaan DAP dan PKR bahawa GPS menyokong PAS dan UMNO adalah tidak berasas, kata Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusuf.

Menurut Fadillah, kedua-dua parti dalam gabungan Pakatan Harapan(PH) itu sebenarnya mencuba untuk menakutkan rakyat Sarawak.

“GPS diminta memilih calon Perdana Menteri, bukannya memilih untuk menyertai mana-mana gabungan.


“Mungkin DAP dan PKR lupa, merekalah yang pernah bekerjasama dan bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.

“Sedangkan GPS pula kekal sebagai sebuah entiti politik di Sarawak yang tidak menyertai mana-mana gabungan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Fadillah yang juga MP Petra Jaya, kemelut politik negara juga dimulakan oleh DAP dan PKR.

Katanya, kalau mereka(DAP dan PKR) konsisten menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin kemelut ini boleh diselesaikan lebih awal dan tidak berpanjangan.

“Perebutan kuasa dalam Pakatan Harapan sendiri yang menjadi punca keadaan politik negara kucar-kacir dan mereka tidak seharusnya menyalahkan pihak lain,” ujar beliau.

GPS tambah Fadillah membuat keputusan sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua parti politik memberikan pandangan dan menyatakan pendirian dalam menyelesaikan krisis politik negara.

Menurut beliau, keadaan politik negara yang kucar kacir selama seminggu menyebabkan keadaan tidak menentu dan ekonomi terjejas.

“Kini semuanya sudah berakhir dan Perdana Menteri kelapan sudahpun dilantik.

“Semua pihak seharusnya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang dibuat melalui proses perlembagaan dalam menyelesaikan krisis politik Negara.

“Marilah kita semua kembali fokus kepada usaha untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran Negara,” tegas Fadillah.— DayakDaily