Daerah Kuching rekod kerugian RM27.4 juta akibat scammer

Dato Sri Fadillah Yusof (file pic)
Advertisement

KUCHING, 30 Nov: Kes penipuan atas talian atau scammer bagi tempoh bulan Januari hingga Oktober 2024 bagi Daerah Kuching melibatkan kerugian RM27.4 juta.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, ia melibatkan sebanyak 362 kes dalam pelbagai bentuk penipuan.

“Sebagai perbandingan, antara Januari hingga Oktober 2023 pula, sebanyak 509 kes penipuan (scammer) di laporkan di Kuching.

Advertisement

“Ia melibatkan kerugian sebanyak RM27.08 juta,” katanya di dalam ucapan sempena ‘Town Hall Discussion 2024: Hentikan!! Ancaman Scammer, Dadah dan Judi Online’ di Kuching hari ini.

Tambah Fadillah penipuan atas talian adalah seperti penipuan Macau Scam, pembelian dalam talian, penipuan pelaburan, love scam, penipuan pekerjaan dan penipuan bantuan kerajaan.

Justeru ujarnya, masyarakat hendaklah sentiasa berwaspada sepanjang masa bagi mengelak diri kita daripada menjadi mangsa scammer.

“Jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi anda kepada mana-mana individu yang tidak dikenali iaitu nombor kad pengenalan, nombor akaun bank atau nombor kad kredit dan sebagainya.

“Pada masa sama gunakan laman web yang dipercayai untuk transaksi dalam talian,” kata Fadillah. — DayakDaily

Advertisement