Daerah Kecil Sundar terus terima projek pembangunan

Awang Tengah (dua dari kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak di majlis tersebut. Foto: Ukas

KUCHING, 9 Mei: Kerajaan Sarawak merancang membina dewan baru dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Aru di Lawas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Awang Tengah berkata, ia merupakan usaha untuk membangunkan Daerah Kecil Sundar.

“Kawasan ini akan terus dibangunkan dengan kemudahan awam demi memastikan pembangunannya turut dinikmati penduduk khususnya di luar bandar,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Majlis Kesyukuran dan Ramah Tamah Aidilfitri di perkarangan Masjid Kampung Aru Sundar pada Sabtu (7 Mei).

Tambah Awang Tengah, kemudahan awam ini akan membolehkan masyarakat terlibat dalam industri berkaitan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk.

Katanya, ini termasuklah penyukatan kampung tradisional.

“Begitu juga penyukatan tanah sudah banyak dibuat secara perimeter atau penyukatan secara individu kita akan terus laksanakan,” ujar beliau.

Awang Tengah yang juga Adun Bukit Sari turut memaklumkan bahawa bekalan air dan juga kemudahan masjid di kawasan tersebut akan ditingkatkan, manakala Lapangan Terbang Lawas baharu juga akan dibina di antara Sundar dan Punang. — DayakDaily