Dadah bernilai RM1.07 juta dirampas, 39 suspek ditangkap di Kuching

Gambar komposit dadah yang dirampas dan kenderaan yang disita sepanjang operasi tersebut.

KUCHING, 2 Sept: Ibu Pejabat Polis Deerah (IPD) Kuching berjaya menahan 39 individu dan merampas dadah bernilai RM1.07 juta melalui Op Pusher (tokan).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejayaan tersebut adalah hasil operasi khas yang dilakukan bermula dari 1 hingga 31 Ogos lalu.

Katanya, kesemua suspek yang ditangkap adalah terdiri 37 lelaki berusia 18 hingga 53 tahun dan dua wanita berusia 24 dan 34 tahun.


“Pelbagai jenis dadah dirampas dengan anggaran keseluruhan lebih kurang 7.1 kilogram, 17,887 pil Ekstasi dan 151 biji pil Erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM1.07 juta.

“Manakala tangkapan pula adalah seramai 37 suspek lelaki dan dua suspek wanita, di mana lapan tangkapan mempunyai pelbagai jenis rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut disita ialah dua buah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan Perodua Axia.

Menurutnya juga, sebanyak 43 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tempoh tersebut dan kesemuanya masih dalam siasatan serta pendakwaan.

“Operasi khas ini akan diteruskan dan masyarakat dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah melalui talian 082-332522,” katanya. — DayakDaily