Oleh Dean Adam
SERIAN, Feb 25: Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup masuk selaras senapang patah dan 12 kotak yang dipercayai mengandungi peluru senapang angin berjaya dipatahkan pasukan polis di Pos Kawalan Sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dekat sini lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, suspek berusia 33 tahun dan berasal dari Kampung Sikog diberkas kira-kira pukul 6.20 petang.
Katanya, sebelum itu pasukan polis telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu seorang lelaki di dalam keadaan mencurigakan.
“Polis kemudian menahan kereta yang sedang bergerak dari arah Indonesia masuk ke Malaysia itu untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut menemui selaras senapang patah dan 12 kotak yang dipercayai mengandungi peluru senapang angin,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, kesemua barang rampasan tersebut dijumpai di dalam bonet belakang kereta yang disembunyikan di bawah karpet di bahagian ruang ‘spare tyre’.
Ujarnya, turut dijumpai baju uniform RELA di dalam kenderaan berkenaan.
“Kesemua barang tersebut dirampas dan suspek dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily