Cubaan seludup pakaian terpakai dipatahkan PGA Batalion 11

Rosdi (kiri) menunjukkan pakaian terpakai yang dirampas.

KUCHING, Sept 4: Tiga lelaki tempatan yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan iaitu dengan cuba menyeludup keluar pakaian terpakai ke Indonesia berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11, dekat kawasan sempadan negara di Kampung Stass, Bau di sini petang semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, anggota PGA berjaya menahan tiga lelaki masing-masing berusia 20, 28, dan 40 tahun.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Supt Rosdi Inai berkata, sebelum kejayaan operasi itu, sepasukan anggota PGA yang melakukan operasi cegah jenayah rentas sempadan telah mengesan pergerakan dua buah lori yang dalam keadaan mencurigakan.


Katanya, anggota PGA kemudian bertindak menahan kedua-dua lori tersebut untuk melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua buah lori yang seakan-akan membawa muatan sawit sebenarnya membawa 120 guni pakaian terpakai.

“Siasatan lanjut mendapati mereka tidak memiliki dokumen sah untuk membawa barangan terpakai itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rosdi menambah, pihaknya kemudian menyita kedua-dua lori termasuk muatan pakaian terpakai tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudian ditahan untuk membantu siasatan kes.

“Anggaran rampasan kesemua barangan pakaian dan dua buah lori berkenaan adalah berjumlah RM190,000.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” ujarnya. — DayakDaily