Oleh Dean Adam
SERIKIN, Okt 26: Pasukan tentera dari Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) sekali lagi berjaya mematahkan cubaan menyeludup barangan terkawal di sempadan Indonesia di sini hari Rabu.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya 1 Divisyen berkata, operasi rutin yang dilakukan pasukan tentera sebelum itu mengesan pergerakan sebuah van dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota tentera kemudian menghampiri pemandu van sedang memunggah barangan kawalan dari van ke belakang sebuah lori.
“Pihak tentera seterusnya membuat serbuan dan berjaya menahan pemandu van, manakala dua lagi warga Indonesia berjaya melarikan diri memasuki sempadan Indonesia.
“Hasil maklumat awal mendapati barangan tersebut dibawa mengunakan van bagi megaburi pihak berkuasa dan seterusnya barangan tersebut akan dipindahkan ke kenderaan lain untuk di seludup ke Indonesia,” katanya di sini hari.
Jurucakap sama memberitahu, barangan kawalan yang dirampas adalah 53 beg beras 10kg, minyak masak (6 kotak), baja (10 kotak), gula 50kg (10 guni) dan tepung gandum (28 kotak)
Manakala lain-lain barang ujarnya adalah seperti Milo (39 bungkus), telur (15 papan) biskut kering (9 bungkus) pengecas bateri dan telefon bimbit jenama Nokia (2 kotak) dan bawang putih (57 guni).
“Turut dirampas ialah dua buah kederaan iaitu sebuah van Toyota dan sebuah lori Isuzu.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM69,889,” katanya.
Sambil menambah, pihak tentera seterusnya telah membuat laporan polis dan menyerahkan suspek dan barang rampasan ke Balai Polis Bau untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily