Cubaan seludup barangan kawalan di Serian gagal

Kenderaan yang memuatkan tong LPG dirampas di Serian.

KUCHING, JUN 23: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 pada Ahad lepas berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan bersubsidi di Serian.

Turut dirampas ialah sebuah lori dan kenderaan 4WD yang digunakan untuk untuk menyeludup.

“Dalam operasi pada 21 Jun 2020 tersebut, PGA Serian telah menyita untuk siasatan barangan kawalan bersubsidi dan 2 buah kenderaan.


“Barangan yang dirampas ialah 44 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) Petronas dan 24 kilogram gula kasar.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM86,050.80,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan hari ini.

Siasatan awal KPDNHEP mendapati pemandu tidak memiliki lesen menjalankan urusniaga barang kawalan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.—DayakDaily