Cubaan 12 Pati seludup masuk berjaya dipatahkan PGA

Kelihatan Pati ditahan di Lubok Antu untuk pemeriksaan sebelum diusir keluar.

KUCHING, 29 Sept: Seramai 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) termasuk tujuh warganegara Filipina diusir keluar selepas cuba memasuki negeri ini secara haram baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata kes pertama dilaporkan di Lawas pada 26 September apabila sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 menemui tujuh lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan Kampung Masjid Baru, Merapok sekitar jam 6 petang.

Katanya, pemeriksaan telah dilakukan ke atas mereka dan didapati ketujuh-tujuh lelaki tersebut berusia 20 hingga 54 tahun merupakan warga Filipina.


“Pemeriksaan lanjut juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.

“Kesemua mereka kemudian diarahkan berpatah balik melalui jalan yang digunakan mereka masuk ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dipercayai mereka cuba memasuki negeri ini melalui Indonesia.

Sementara itu, kes kedua pula dilaporkan di Jalan Nanga San di Lubok Antu, di mana seramai lima Pati warga negara Indonesia telah ditahan cuba menyeludup masuk ke negeri ini juga pada 26 September sekitar jam 8.15 malam.

Aidi memberitahu, kesemua Pati yang terdiri seorang lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki telah anggota PGA Batalion 10.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka kemudian diarahkan berpatah balik ke Indonesia melalui jalan yang sama,” katanya.

Pengusiran dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). — DayakDaily