Covid-19: Universiti berminat buat kajian atas pokok Kela Buno dari Ba Kelalan

Dr Annuar Rapaee

KUCHING, 15 Ogos: Dua universiti berminat untuk menjalankan kajian mengenai ubat dari pokok Kela Buno yang terdapat di tanah tinggi Ba Kelalan dan Baram bagi melawan Covid-19.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee berkata pokok dinamakan Aglaia Stellatopilosa dan dipanggil Kela Buno oleh kaum Kelabit itu boleh menghasilkan sejenis ubat yang dinamakan Silvesterol.

“Silvesterol mempunyai aktiviti anti virus seperti Ebola dan sekarang para penyelidik sedang mengkaji kegunaannya melawan Covid 19. Ada dua universiti sudah berminat untuk membuat kajian kegunaannya melawan Covid 19,” katanya di laman Facebooknya, semalam.


Dr Annuar berkata Sarawak Biodiversity Centre telah memaklumkan mengenai pokok itu semasa beliau mengiring Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong ke pusat tersebut baharu-baharu ini.

“Semoga usaha mereka mencari ubat untuk Covid 19 akan berjaya,” menurutnya.

Beliau berkata 650 kilogram daun pokok ini boleh menghasilkan 22 gram Silvesterol dan 1 miligram (mg) Silvesterol berharga RM 3,235/mg atau 1 gram berharga RM3,235,000.—DayakDaily