Covid-19: “Tidak mungkin DUN dapat dibubarkan tahun ini untuk PRN12”

Dr Awang Azman Awang Pawi
Advertisement

Oleh Peter Sibon

KUCHING, April 6: Sarawak tidak mungkin dapat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) akibat wabak Covid-19 yang begitu membimbangkan, menurut penganalisa politik Profesor Madya Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi.

“Secara ideal, PRN12 negeri Sarawak wajar diadakan pada bulan Oktober atau penghujung tahun ini. Namun ia tidak menjadi ideal lagi apabila krisis dan wabak Covid-19 melanda negara ini yang begitu membimbangkan.

Advertisement

“Bagi menjaga kepentingan rakyat Sarawak dari segi kesihatan, agak wajar PRN12 negeri Sarawak ditunda ke tahun depan apabila wabak ini dijangka berkurangan dan tidak lagi menjadi ancaman,” menurut Awang Azman dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Jelas beliau, pilihan raya lazimnya melibatkan pertemuan bersemuka di antara pemimpin dan rakyat, sentuhan seperti bersalaman, kempen dari rumah ke rumah, perhimpunan di dewan dan padang — kesemua ini melibatkan interaksi awam dan inilah yang paling tidak dibenarkan dalam menangani wabak Covid-19.

“Saya kira pemimpin politik sendiri akan menghindari mengadakan PRN12 ketika wabak ini masih berterusan manakala rakyat pula masih bimbang ancaman wabak Covid-19 ini,” tegas Awang Azman.

Menurut beliau, pada masa ini juga, Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat larangan supaya semua aktiviti perhimpunan membabitkan kehadiran yang ramai ditangguhkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

“Ini bermakna anjakan PRN12 pada hujung tahun ini terpaksa dilakukan pada pertengahan tahun depan atau selepas suku pertama tahun depan sekurang-kurangnya,” ujar beliau, sambil menambah, memang sukar meramalkan tempoh Covid-19 dapat pulih sepenuhnya.

“Namun PRN Sarawak pernah dianjakkan atau ditangguhkan akibat ancaman komunisme dan sebab itulah PRN Sarawak tidak sama tarikh dengan PRU hingga kini.”

PRN11 diadakan pada tahun 2016 dan tempoh penggal DUN Sarawak akan tamat pada pertengahan tahun depan. — DayakDaily

Advertisement