Covid-19: Terowong disinfeksi tidak mampu bunuh kuman-KKM

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 15: Terowong disinfeksi yang digunakan sebagai proses nyah kuman tidak mampu membunuh kuman, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Malah katanya, penggunaan terowong tersebut boleh membawa kemudaratan kepada badan manusia.


“Hasil penilaian mendapati tiada bukti menunjukan bahawa peralatan tersebut berkesan untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Jangka masa 20 hingga 30 saat tidak memadai untuk proses nyah kuman yang berkesan.

“Proses ini juga tidak boleh membunuh kuman dalam badan manusia, tambahan pula bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan seperti mata, mulut dan kulit,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia katanya tidak menyarankan penggunaan terowong disinfeksi sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap manusia.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat permohonan bagi tujuan pengesahan penggunaan terowong disinfeksi untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.

Katanya, pengunaan terowong tersebut telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM.

“Penilaian telah dilakukan terhadap model peralatan daripada beberapa negara dan model sedia ada di Malaysia,’ujar beliau.—DayakDaily.