Covid-19: Fatimah setuju UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan

Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 15: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah setuju dengan keputusan kerajaan membatalkan UPSR dan PT3 bagi tahun 2020.

“Walaupun ujian pusat UPSR dan PT3 tidak dilaksanakan, prestasi pendidikan murid-murid sekolah tahun 6 dan Tingkatan 3 masih boleh diukur melalui 3 dari 4 komponen pentaksiran sedia ada,” katanya bagi mengulas keputusan Kementerian Pendidikan hari ini.


Menurut Fatimah, 3 komponen pentafsiran yang boleh digunapakai ialah pentaksiran bilik darjah, pentaksiran psikometrik dan pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar kementerian menyediakan ujian khas bagi pemilihan pelajar ke sekolah khas seperti sekolah berasrama penuh, sekolah vokasional, dan untuk tawaran biasiswa.

Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) hari ini memutuskan untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga(PT3) bagi tahun 2020.

Pada sidang media di Putrajaya, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata keputusan tersebut akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Kata Dr Mohd Radzi, sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.—DayakDaily