Covid-19: Sejarah tercipta, hanya satu kes positif hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Julai: Sejarah tercipta apabila hanya satu kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan kes import membabitkan warga tempatan yang pulang dari Turki.

Beliau turut memaklumkan pertambahan 21 kes pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 8,375 kes
iaitu bersamaan 96.93 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga 1 Julai 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat satu kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,640 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 144 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada
sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, terdapat empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 121 kes, bersamaan 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily