Covid-19: Pesta Ujud 2020 mungkin terpaksa ditangguhkan

Acara pukul bantal paling menjadi tumpuan orang ramai yang memeriahkan pesta berkenaan tahun lepas.
Advertisement

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Apr 11: Bagi warga Simunjan khususnya golongan belia, bulan Ogos setiap tahun sememangnya saat yang amat ditunggu-tunggu.

Ini kerana mereka tidak sabar untuk menyertai pelbagai aktiviti sukan air rakyat sempena penganjuran Pesta Ujud Kampung Kelka, Simunjan.

Advertisement

Bagaimanapun, dengan situasi tidak menentu ketika ini berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh negara, warga Simunjan boleh melupakan hasrat untuk menyaksikan pesta tradisi itu diadakan pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris ketika dihubungi berkata pihaknya perlu mengambil jalan selamat dengan menangguhkan pesta tradisi itu kerana bimbangkan keselamatan orang awam.

Katanya, pesta itu tidak pernah gagal menarik kedatangan ramai pengunjung terutama warga Simunjan sendiri dan beliau tidak mahu situasi itu akan memburukkan lagi keadaan.

“Keselamatan orang ramai di Simunjan sentiasa menjadi keutamaan. Justeru, penangguhan pesta ini adalah jalan terbaik untuk mengelak sebarang masalah timbul,” ujar beliau ketika mengulas mengenai perkara itu.

Awla dalam pada itu berharap pandemik yang sedang melanda negara ketika ini berakhir tidak lama lagi sekali gus membolehkan penganjuran pesta berkenaan diteruskan mengikut jadual.

Seperti kelaziman, pesta tersebut dianjurkan oleh Angkatan Anak Kelka, Simunjan dan disokong pelbagai pihak.

Uniknya mengenai pesta tersebut, ia mengembalikan nostalgia lama dengan menghimpunkan pelbagai aktiviti sukan air klasik seperti pukul bantal di atas titi (batang khas), memanjat tiang licin dan melontar buah kelapa.

Malah, ia juga mengetengahkan corak kehidupan lampau seperti memancing ikan, mento senek (menangkap anak udang/udang) yang menggunakan kaedah masyarakat dahulu kala.

“Apa yang menarik, bukan sahaja masyarakat Kampung Kelka, Simunjan yang turun beramai-ramai untuk sama memeriahkan pesta berkenaan.

“Malahan, mereka yang bermastautin di luar kawasan Simunjan juga sanggup untuk kembali ke kampung bagi tujuan sama,” tambah Awla.

Beliau juga percaya penganjuran pesta itu boleh diperhebatkan lagi selepas ini agar ia dapat diangkat menjadi satu lagi produk pelancongan di Sarawak.

“Kita berharap ‘Pesta Ujud Kampung Kelka, Simunjan’ akan lebih berprestij pengelolaannya selepas ini. Terutama cadangan awal jawatankuasa pengelola untuk memperbanyakan lagi aktiviti klasik,” menurut beliau lagi. —DayakDaily

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) dan Awla (tengah) bersama peserta terlibat pada edisi tahun lepas.
Advertisement