Covid-19: Pergerakan ke bandar tidak dibenarkan, terus kekal di kampung

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 24: Pergerakan dari kampung ke bandar tidak dibenarkan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), tegas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media Covid-19 pada hari ketujuh pelaksanaan PKP, Ismail berkata pihak polis akan mengarahkan sesiapa sahaja untuk balik semula ke kampung masing-masing.


ā€œ’Trend’ yang kita lihat hari ini ialah masyarakat atau rakyat kita yang pulang ke kampung telah mula ingin pulang ke tempat kerja atau kediaman masing-masing di bandar-bandar besar.

ā€œSaya harap perkara ini tidak berlaku, seperti yang telah kita nasihatkan, terus kekal di kampung halaman masing-masing,ā€katanya.

Tambah Ismail, pihak polis dengan bantuan tentera telah mengadakan sekatan di 23 stesen tol untuk menyekat masyarakat atau rakyat yang ingin pulang ke tempat kerja.

Justeru katanya, di sekatan tersebut, pemandu-pemandu akan diminta untuk balik semula ke kampung masing-masing.

ā€œMaka saya rasa tidak perlulah untuk meneruskan atau merancang perjalanan pulang ke tempat kerja atau kediaman di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya.

ā€œIni adalah kerana pihak polis tidak membenarkan dan akan memberi nasihat untuk balik ke kampung semula.

ā€œSaya harap sesiapa yang merancang untuk balik ke tempat kerja untuk terus kekal di kampung,ā€ ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa pihak polis pada waktu ini mungkin tidak akan memberi nasihat lagi, sebaliknya sesiapa yang ingkar pada PKP akan dikenakan tindakan undang-undang.

Dari segi statistik, katanya, sebanyak 695 laporan polis telah dibuat dan 46 kes sedang disiasat.

ā€œSeramai 28 orang telah ditangkap setakat ini, seperti yang saya dah seru kepada semua jangan sampai tindakan undang-undang dikenakan,ā€ tegas beliau lagi.

Pada hari ketujuh PKP, Ismail memaklumkan bahawa tahap pematuhan telah meningkat dari 92 (semalam) ke 95 peratus hari ini.

ā€œ’Trend’ hari ini kita lihat bahawa kesesakan di bandar dengan kenderaan telah berkurangan di mana jalan-jalan agak lengang.

ā€œIni menunjukkan pematuhan perintah telah meningkat di bandar bandar dan sebagainya,ā€ katanya. ā€” DayakDaily