Covid-19: Penganjuran Sukma Johor ditangguhkan

Logo Sukma Johor

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mac 25: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia hari ini memutuskan untuk menangguh penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor dijadual berlangsung dari Julai 11 hingga 19 susulan situasi wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Keputusan itu dicapai selepas ahli jawatankuasa itu bermesyuarat secara sidang video yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini.


Dalam kenyataan medianya, Reezal memberitahu penangguhan itu terpaksa dilakukan selepas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia mengambil kira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet-atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam temasya tersebut.

Menurutnya, mesyuarat juga telah mengenal pasti dua cadangan tarikh baru iaitu pada Disember 2020 atau dianjak ke 2021 setelah mengambil kira beberapa perkara iaitu pemantauan berterusan perkembangan wabak Covid-19; tiada pertindihan dengan tarikh-tarikh penting lain seperti peperiksaan awam, acara-acara sukan utama; dan mengambilkira kepentingan semua pemegang taruh Sukma Johor 2020, khususnya negeri Johor sebagai tuan rumah.

Serentak dengan itu, beliau juga meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma Johor 2020 untuk menangguhkan temasya yang dijadualkan berlangsung selepas Sukma Johor 2020.

Reezal dalam itu mengalu-alukan keputusan Majlis Olimpik Antarabangsa dan Jepun selaku tuan rumah dengan menangguhkan temasya Sukan Oimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat esok secara sidang video bersama MSNS dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) berkaitan dengan persiapan Sukma Johor.

Katanya, semua latihan telah ditangguhkan dan hanya akan bersambung selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir. — DayakDaily