Jangan panik memandangkan 99 dpd 101 kes dikesan di Depot Tahanan Sementara Imigresen Semuja

Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem.

KUCHING, 19 Mac: Penduduk di Serian dinasihatkan untuk tidak panik dengan situasi semasa penularan jangkitan Covid-19 yang dilaporkan berlaku di bahagian berkenaan.

Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, daripada 101 kes positif jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Serian semalam, 99 kes dikesan berlaku di Depot Tahanan Sementara Imigresen Semuja.

Katanya, situasi berkenaan menunjukkan hanya dua kes positif sahaja melibatkan penduduk tempatan Serian.


“Apapun saya berharap semua rakyat Serian khasnya agar sentiasa berwaspada dan patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan Parlimen Serian, beliau akan sentiasa memantau perkembangan penularan Covid-19 di bahagian berkenaan,” katanya ketika dihubungi DayakDaily hari ini.

Pada sidang media semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, JKNS akan meningkatkan aktiviti pengesanan aktif kes (ACD) di dua depot tahanan imgresen dan enam penjara di seluruh Sarawak.

Katanya, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira bahawa pusat tahanan terlibat yang agak padat selain pegesanan 99 kes positif Covid-19 yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen Semuja.

Menurut Uggah, seramai 463 warga asing tanpa izin ditahan di Depot Tahanan Imigresen Semuja manakala 521 tahanan lagi ditahan di Depot Tahanan Imigresen Berkenu di Miri.

Tambah beliau, ACD sama juga dilaksanakan di enam lagi penjara iaitu Penjara Punca Borneo di Kuchng dengan 1,210 tahanan, Penjara Pusat Sri Aman (407), Penjara Pusat Sibu (559), Penjara Pusat Bintulu (290), Penjara Pusat Miri (566) dan Penjara Pusat Limbang (428).

Kesemua penjara ini menempatkan seramai 3,460 tahanan dengan 3,268 merupakan tahanan lelaki manakala 192 lagi adalah tahanan wanita.

“Selama ini kita sentiasa risau akan berlaku jangkitan di kawasan yang padat dan tertutup seperti pusat tahanan dan depot imigresen ini, jadi apa yang kita lihat berlaku di Semuja di mana terdapat 99 kes positif Covid-19 di kesan dikalangan tahanan yang ditahan du depot berkenaan.

“Oleh yang demikian kita mengambil keputusan untuk melaksanakan ACD di semua pusat tahan dan depot imigresen di seluruh Sarawak dengan harapan dapat tiada kes serupa berlaku di kawasan terbabit,” katanya. — DayakDaily