Covid-19: MEDAC tangguh sementara bayaran balik komitmen pembiayaan usahawan dan koperasi

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, Mac 23: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah membuat keputusan untuk memberi penangguhan sementara bayaran balik komitmen pembiayaan usahawan dan koperasi mulai Mac 16, 2020.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, ia melibatkan pembiayaan di bawah Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan Bank SME.

“Kerajaan melalui MEDAC amat prihatin terhadap impak dan kesan penularan Covid-19 ke atas usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro dan koperasi.


“Memandangkan arahan terkini kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara, banyak PKS, perusahaan mikro dan koperasi menerima kesan secara langsung.

“Dalam usaha untuk meringankan beban dan membantu usahawan yang terlibat, MEDAC telah mengambil beberapa langkah proaktif dan telah membuat keputusan untuk memberi penangguhan sementara bayaran balik komitmen pembiayaan usahawan dan koperasi,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Wan Junaidi, MEDAC akan meneruskan komitmen untuk membantu usahawan dan koperasi yang terjejas.

Melalui langkah-langkah yang diambil, beliau percaya sekitar 20,000 usahawan TEKUN akan dapat menggunapakai bantuan ini dengan anggaran kos sebanyak RM180 juta.

“Dengan penangguhan ini, koperasi dibawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) boleh memohon penangguhan bayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) serta lain-lain pembiayaan sedia ada oleh SKM.

“Penangguhan ini akan diberi pertimbangan sewajarnya dan dijangka melibatkan anggaran kos sebanyak RM16.5 juta,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, Bank Rakyat menawarkan moratorium kepada individu dan syarikat dalam industri yang terjejas seperti penerbangan, pelancongan dan pengangkutan dengan tempoh penangguhan selama enam bulan.

Dalam pada itu katanya, Bank SME pula menyediakan inisiatif penangguhan pembayaran selama enam bulan serta penstrukturan semula pinjaman mengikut kes dan memberi manfaat kepada lebih 2,800 pelanggan bank dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.5 bilion.

Melalui langkah tersebut katanya, pengecualian sewa atau pengurangan sewa juga diberikan kepada penyewa premis dan ruang milik UDA Holdings Bhd dan SKM serta penyewa Co-Working Space (CWS) di MAGIC, Cyberjaya dan B744 Kuching.

“Bank SME memberi penangguhan sehingga enam bulan bagi sewaan Kompleks Premis Usahawan SME Bank melibatkan 248 penyewa dengan penjimatan kos sewaan berjumlah RM2.3 juta,” ujar beliau.

Sebarang pertanyaan berhubung perkara tersebut dan kemudahan lain boleh layari di www.medac.gov.my. — DayakDaily