Covid-19: Kluster Persidangan Gereja di Kuching ditamatkan — Dr Noor Hisham

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Jun 23: KKM hari ini memaklumkan penamatan Kluster Persidangan Gereja di Kuching, Sarawak.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman rasmi Facebook KKM mendedahkan kluster ini kini telah pun sampai ke pengakhirannya.

“Kluster Persidangan Gereja merupakan salah satu kluster yang telah dikesan sejak awal wabak Covid-19 di Malaysia, iaitu pada 15 Mac 2020.


“Sehingga 23 Jun 2020, seramai 2,751 telah disaring dan didapati 191 kes yang positif Covid-19.

“Sebanyak 12 kes telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terdapat tiga kes kematian dalam kluster ini,” menurut Dr Noor Hisham.

Tambah beliau, tiga kes kematian itu merupakan kes kematian ke-2 iaitu kes ke-358, kes kematian ke-37 (kes ke-2,471) dan kematian ke-67 iaitu kes ke-2,864.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, Kluster Persidangan Gereja telah melibatkan sehingga lima generasi dari pelbagai kawasan di Sarawak.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) serta semua petugas yang telah memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti berkaitan kluster ini.

Turut ditamatkan hari ini ialah Kluster Pengawal Keselamatan Cheras. — DayakDaily