Covid-19: Kluster persidangan agama di gereja Kuching catat 24 kes positif hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 8: Kes baharu Covid-19 dari kluster persidangan agama di gereja Kuching meningkat 24 kes hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, dengan kes terbaharu itu, jumlah kes dari kluster tersebut setakat ini ialah 110 kes.


“Semalam kita umumkan 86 kes dan hari ini ada pertambahan 24 kes dari kluster persidangan agama di gereja Kuching.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 110 kes dengan dua kematian,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa kumpulan tabligh di Sri Petaling adalah kluster terbesar positif Covid-19 dengan jumlah 1,682 kes.

Hari ini, tambah beliau, kluster tersebut (tabligh Sri Petaling) ada pertambahan 25 kes dengan kadar 41 peratus.

Pada sidang media yang sama, beliau berkata terdapat 166 kes telah pulih dan dibenarkan didiscaj hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan didiscaj dari wad ialah 1,487 kes iaitu bersamaan 36.1 peratus dari jumlah keseluruhan kes,” ujar beliau.

Dalam pada itu tambah beliau, sehingga 8 April 2020 jam 12 tengahari, terdapat 156 kes baharu yang dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 4,119 kes.

Setakat ini, 76 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah itu 45 memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa hari ini terdapat dua kes kematian Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 65 kes bersamaan dengan 1.58 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-64 iaitu kes ke-2,903 merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 7 April 2020 jam 3.20 petang.

“Kes kematian ke-65 (kes ke-1,906) merupakan lelaki warganegara Pakistan berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau memiliki sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling dan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 8 April 2020 jam 9.30 pagi,” ujar Dr Noor Hisham. — DayakDaily